Friday, October 28, 2011

13 Tahun Mencari Cinta

Saya yakin ramai yang terkejut kerana tiba-tiba saja saya mengumumkan bahawa saya akan berkahwin. Hehe. Saya sendiri pun macam tak percaya bahawa saya akan berkahwin pada tahun ini. Dan bila sudah selesai akad nikah, rasa macam tak percaya saya sudah pun berkahwin. Dan yang paling kerap ditanya : Kenapa tiba-tiba nak kahwin dan macam mana bertemu dengan suami? Ish ish ish. Terlalu ramai yang bersemangat inkuiri yang tinggi ni.

Cerita Versi Sarah

Saya dan suami merupakan teman sekelas dari darjah 4 hingga 6. Kami kenal sejak sekolah rendah lagi. Dia pelajar yang baru berpindah masuk ke sekolah itu pada tahun 1995. Kami tidak rapat pada mulanya. Sehinggalah tahun 6, barulah kami bertegur sapa. Itupun kerana kami berdua diletakkan oleh ustazah di bilik guru untuk program gempur UPSR. Kawan-kawan yang lain semuanya belajar di dalam dewan. Seingat saya, sejak itu baru kami ada bertegur sapa dan tolong menolong dalam menyiapkan latih tubi UPSR.

Kali terakhir bertemu dengannya ialah pada hari keputusan UPSR diumumkan di penghujung bulan Disember 1997. Hanya kami berdua yang mendapat 5A di sekolah. Tapi, kami langsung tak sempat bertegur sapa selepas mengambil keputusan masing-masing. Memang sekadar di situ. Kemudian dia ke hilir dan saya ke hulu. Saya menyambung tingkatan 1 di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh dan saya sekadar mendengar berita bahawa dia kembali bersekolah di Kuala Lumpur. Sejak itu, kami langsung tidak bertemu lagi.

Saban tahun, saya memang tidak pernah melupakan dia sebagai kawan saya. Pelik juga. Saya ingat terlalu banyak fakta tentang dirinya. Saya ingat tarikh lahirnya, alamat rumahnya, nombor plat kereta ibunya, warna dan jenis kereta ayahnya, nama adik-adiknya juga habitnya ketika tekun menjawab soalan di dalam kelas. Huhu. Kelakar juga bila diingat.

I have no reason why I remember every single fact about him.

Yang saya ingat, ketika bersekolah di Al-Khairiah, setiap kali saya ada mengenali kawan-kawan baru yang kebetulan mempunyai latar belakang pernah bersekolah di Al-Amin Gombak, saya akan jadi tersentak. Dalam hati mesti berkata : 'Thaariq kemungkinan bersekolah di sini lagi agaknya.' Dan bila sudah agak serasi dengan kawan itu, saya akan bertanya kepada mereka berkemungkinan tak mereka mengenali pelajar bernama Ahmad Thaariq. Huhu. Sadis betul mengenang kembali kisah menjejak dirinya suatu ketika dahulu. Sayangnya, memang tetap tidak berjaya untuk mendapatkan berita terkini tentang dirinya.

Sebaik selepas tamat SPM, saya ditawarkan ke Rusia oleh JPA. Selepas seminggu orientasi, saya mula masuk ke kelas untuk mengikuti kelas Bahasa Rusia. Ketika sesi suaikenal, salah seorang pelajar dalam kelas itu ada menyebut dia dulu bersekolah di Al-Amin Gombak sebelum berpindah ke MRSM Pengkalan Chepa. Dalam hati saya terdetik: 'Oh, ni sebaya ni. Ada chance dia kenal Thaariq ni. Hehe.'

Dan apabila bertanya kepada kawan itu, menurutnya, Thaariq telah berpindah sekolah ke Johor selepas tingkatan 2 dan mereka juga sudah tidak berhubung sejak itu. Hati kembali kecewa. Sejujurnya, perasaan saya pada ketika itu ialah kecewa kerana seorang kawan yang baik dengan saya suatu ketika dulu terputus hubungan dengan saya dengan begitu saja. Langsung tidak dapat dikesan di mana dia berada sejak habis UPSR. Saya sungguh terkilan akan hal itu.

Ketika zaman Friendster sedang memuncak pada tahun 2004, saya cuba mencarinya. Tidak jumpa. Pernah meng-google namanya pada tahun 2005 dan 2006. Tidak juga jumpa. Memang tiada rezeki saya agaknya. Pada masa yang sama saya pernah terfikir, agaknya ingatkah dia pada saya, kawan baik yang sama-sama belajar semeja-guru dengannya dulu?

Sehinggalah ketika saya sedang dalam hiatus sebelum final exam menjelma ketika di tahun akhir di Moscow dulu. 4 Jun 2009. Itulah tarikhnya. Saya melihat capaian masuk ke blog saya pada waktu itu. Saya lihat, ada seseorang yang menjumpai blog saya dengan menggunakan kata carian 'Siti Sarah Al-Mukmin'. Langsung, ia membuatkan saya terfikir. Ini semestinya kawan-kawan Al-Mukmin yang meng-google nama saya dan membawanya ke blog saya. Dalam kepala saya ligat memikirkan nama-nama yang berkemungkinan mencari saya semula. Yang pertama saya fikirkan ialah dia, Ahmad Thaariq Bin Mohd Khairudin.

Walaupun ketika itu saya sedang studi untuk final exam yang tinggal beberapa hari saja lagi, saya sempat menekunkan diri saya meng-google namanya pula. PAP! Banyak senarai yang keluar. Aik. Pelik bin ajaib. Dulu bila saya google, tiada satu pun informasi yang ada mengenai dirinya. Tapi pada tahun 2009 itu, berlambak-lambak capaian berkaitan dengan dirinya. Antaranya ialah blog WordPress dan Fotopagesnya. Saya amati Fotopages itu. Pemiliknya seakan-akan Cina. Tapi inikah dia? Agak lain rupanya di dalam gambar di situ. Saya meneliti 1, 2 entri di blognya. Kisah seorang pelajar Master di UTM Skudai. Kursus apa, umur berapa, semuanya tidak saya tahu. Saya was-was itukah dia. Tapi apabila saya lihat ada capaian ke blog adiknya Rafiq yang kini sedang menuntut di Jerman, saya hampir 100% yakin itu adalah dia. Saya cuba mencari emailnya untuk cuba menghubunginya secara personal. Tiada. Jadi saya meninggalkan komen di blognya saja:

Salam Thaariq.

I was googling around to look for an old friend of mine named exactly like you. I have this instinct that you are him but I doubt I was wrong. Is there any possibility that you attended primary school in Temerloh, Pahang? SRA Al-Mukmin to be exact (UPSR'97). Looking forward to hear some good news from you soon.

p/s: I've tried looking for your email to contact you personally but I couldn't find any. Sorry to disturb you in this comment box.

Sehari suntuk saya menunggu komen itu direspon. Kecewa saja. Huhu.

Tapi keesokannya (5 Jun) adiknya membalas komen saya dengan jawapan yang positif dan tidak lama selepas itu, tuan blog itu pula menjawab segala persoalan saya dengan menghantar email peribadi kepada saya. Sah! itu adalah dia, Ahmad Thaariq, kawan yang telah 12 tahun terputus hubungan dengan saya. Sempatlah kami berbalas 2, 3 email. Kemudian saya menyepi semula kerana perlu studi. Keesokannya, saya pergi menjawab final exam dengan lapang dada dan gembira. Dan saya lulus dengan jayanya.

Yang saya tahu tentang dia, dia sedang menyambung Ijazah Sarjananya dalam bidang Remote Sensing di UTM Skudai, meminati bidang fotografi dan seorang computer geek! Tiga perkara ini betul-betul membuatkan saya tersenyum seorang pada waktu itu.

Apabila sudah kembali ke Malaysia, kami hanya kadang-kadang bertegur sapa di Facebook saja. Saya sangat sibuk pada waktu itu. Jadi saya tak berapa layan sangat Facebook. Lagi pula, dia pun bukanlah satu kepentingan pun dalam hidup saya. Sehinggalah seminggu sebelum hari lahir saya pada tahun 2010, ada seseorang datang meminang. Haha. Ini agak lucu.

Ustaz itu betul-betul buat saya berada dalam dilema. Saya tak mahu tapi apa alasan terbaik saya ya? Hehe. Istikharah punya istikharah, sehinggalah malam hari lahir saya itu, saya mendapat mesej daripada Thaariq. Dia mengucapkan selamat dan memberikan sekeping gambar hadiah buat saya. Gambar pemandangan bintang-bintang yang diambilnya ketika di Dubai. Dia buat saya terfikir. Thaariq itu maksudnya 'Yang Datang Di Malam Hari' dan antara lain maksudnya ialah 'Bintang'. Saya tenung gambar bintang-bintang itu lama-lama. Tiba-tiba hati terdetik. "Kenapa dia satu-satunya yang muncul mengucapkan selamat hari lahir di tengah malam sunyi ini? Apa kaitannya dengan istikharah saya?"

Tapi segalanya masih tidak jelas. Memang tiada apa-apa perubahan dalam hidup saya mahupun dia. Sehinggalah sekitar bulan Februari 2010, ada majlis di sekolah rendah saya dulu. Sebagai bekas pelajar, saya diberikan amanat oleh mudir (guru besar) saya untuk mengumpulkan bekas-bekas pelajar yang telah tamat belajar untuk datang ke sekolah untuk menjalankan program bersama-sama murid-murid di sana. Saya mengumpulkan beberapa nama dan menghubungi mereka secara peribadi. Saya turut menghubungi Thaariq untuk mendapatkan kata putus kehadirannya. Tapi sebaik berada di talian dengannya, saya jadi serba tak kena. Berderau darah nak bercakap dengannya. Sudahnya, saya bercakap seperti butir peluru yang laju. Haha.

Lebih kurang sebulan selepas itu, saya post-call pada petang itu, tiba-tiba saya menerima panggilan telefon daripadanya. Cuak saya untuk menjawab panggilan. Serba tak kena rasa. Puas berfikir kenapalah dia tiba-tiba menelefon ni. Rupa-rupanya dia menelefon untuk mendapatkan nasihat berkaitan kawan serumahnya yang patah tulang bahu. Kebetulan saya pada waktu itu berada dalam posting Orthopedic. Itu sebabnya dia menelefon saya. Hahaha. Gelabah tak memasal, kan. Tapi sejurus selepas itu saya lihat dia meng-update status baru di Facebooknya: I just called to say hello =)

And it really means something to me.

Sejak itu, saya lihat dia mula meletakkan status-status berbahasa Rusia di Facebooknya. Pelik juga. Mana dia tahu ayat-ayat ni semua. Ayat-ayat yang dipilihnya manis-manis belaka. Huhu. Kiranya, kalau kamu tidak faham bahasa itu, payahlah untuk kamu tangkap maksudnya. Dalam hati saya terfikir: Aik aik, dia tujukan kepada siapa ni? Cool down, Sarah. Dia main-main je ni. Haha. Waktu itu saya geram juga dengan dia ni. Saja nak memerangkap saya dalam kekeliruan. Sebab setakat yang saya tahu, mana ada siapa dalam rangkaian Facebooknya yang memahami Bahasa Rusia melainkan saya. Aishh. Memang nak kena cepuk dia ni, kan. Hehe.

Saya pula ketika itu kalau meng-update status di Facebook, saya lebih gemar meletakkan sebaris lirik lagu atau nasyid yang terkesan di hati saya. Tapi pendek kata, semuanya lagu atau nasyid lama yang tidak berapa orang ingat dah. Tapi dengan senangnya dia cam dan merespon di status itu dengan menyambung lirik tersebut. Ajaib juga. Mana dia tahu ni? Dia google ke apa? Huhu.

Pada masa yang sama, saya lihat dia acap kali meletakkan status yang berbaur tertekan dan sudah malas dengan program Master-nya. Sedih juga bila melihat seorang kawan yang seperti mengeluh hampir setiap hari tentang hal yang sama. Waktu itu saya tidak berani lagi untuk respon di status-statusnya. Saya kerap 'diserang' oleh kawan-kawan rapatnya. Hehe. Jadi saya menghantar SMS kepadanya supaya bertahan dan bersabar sikit lagi untuk menyudahkan apa yang sudah dia mulakan. Tahu sajalah saya ni macam mana, kan. Pantang orang berundur separuh jalan. Saya katakan padanya, pastinya sudah ramai yang menasihatinya dengan perkara yang sama tapi jawabnya: Nop, only you.

Ohoo~ Sampai ke hari ini saya masih menyimpan mesej tersebut.

Kemudian, kami berhubung seketika di Yahoo Messenger (YM) untuk mengelakkan cakap-cakap pelik daripada kawan-kawan di sekeliling kami. Kami hanya bercakap tentang perkembangan diri masing-masing selepas terpisah dulu, bidang fotografi (dia Canon, saya Nikon) dan juga tarbiah yang kami ikuti. Syukurnya saya. Telahan saya mengenainya memang tidak salah. Saya dapat 'membaca' siapa dan bagaimana orangnya pada waktu itu.

Tapi disebabkan saya ini memang tidak suka ber-YM, maka tidaklah lama dan sekerap mana kami online bersama. Saya sibuk. Sekalipun kami online bersama, tiba-tiba saja saya sudah tertidur di tepi laptop saya. Esoknya cuba untuk menebus kembali kesalahan, tetapi tertidur juga sekali lagi. Bukankah kasihan dirinya ditinggalkan begitu saja? Huhu. Memandangkan di penghujung Mei tahun lepas kakak saya bakal mendirikan rumah tangga, sebagai salah seorang junior kepada Kaklong, Thaariq turut dijemput hadir. 30 Mei 2010. Itulah tarikhnya. Dia menghadiri walimah Kaklong.

And I have no reason to say no to what I have seen.

Saya kekok pada mulanya. Nasib baik ketika saya dipanggil oleh sahabat baik saya, Mahfuuzah, bahawa dia telah sampai, dia sedang berada bersama-sama kelompok kawan-kawan Al-Mukmin yang lain. Saya menghampiri mereka dan di situlah saat kami bertemu semula selepas 13 tahun terpisah tanpa khabar berita. Tangan terasa seram sejuk. Aik aik. Kenapakah? Dia pula berpeluh-peluh. Ok, bawah khemah tu memang panas pun. Huhu. Selepas kami semua ex-Al-Mukmin bergambar beramai-ramai bersama pengantin, kebanyakan daripada mereka beransur pulang. Kebetulan waktu itu tetamu sudah pun berkurangan. Sudah mencecah 4 petang. Saya membawa Thaariq duduk di bawah khemah berhampiran kipas.

Kami berbual-bual berkaitan diri masing-masing dan perkembangan terkini. Sangat jelas, pada waktu itu saya langsung tidak mengangkat muka kerana takut dan malu untuk menatap mukanya. Kalau boleh, rasa nak pakai purdah sorok muka sendiri. Saya tidak tahu apa yang bermain di fikirannya pada waktu itu. Saya memberitahu emak dan ayah akan kehadiran Thaariq ke majlis itu. Emak dan ayah masih cam akan dirinya. Dalam ingatan ayah, dia diingati sebagai 'anak Khairudin'. Hehe.

Melihatkan reaksi emak dan ayah, hilang sedikit kecuakan saya berada dengannya di situ. Hampir jam 4.30 petang, saya menghantarnya menuju ke keretanya yang diletakkan di bawah bukit rumah saya. Sebelum berlalu pergi, dia menyerahkan satu token kepada saya. Keychain daripada Dubai tempat gambar bintang-bintang yang dihadiahkan kepada saya dulu.

Malam itu saya sangat penat. Saya terbayang-bayang kejadian di petang kenduri itu. Saya ingat setiap apa yang kami bualkan. Saya ingat riak wajahnya yang tenang. Saya ingat saat-saat saya menemaninya turun bukit untuk menghantarnya ke kereta. Tiba-tiba, telefon saya berbunyi. Saya melihat tiga orang sepupu lagi yang bermalam di bilik saya. Semua sudah tidur. Barulah saya menjawab panggilan tersebut. Iya. Thaariq yang menelefon. Ucapnya satu.

"Saya nak kita bukan sekadar kawan. Tapi dengan syarat..."

Syaratnya membuatkan saya terdiam seketika. Saya pohonkan masa untuk berfikir. Semuanya bagaikan renjatan elektrik. Terkejut saya dibuatnya. Semuanya sekelip mata. Saya terlalu penat ketika itu. Tidak boleh berfikir dengan rasional. Jadi saya tinggalkannya dengan soalan yang tidak berjawab. Keesokannya saya sibuk di majlis bertandang di rumah Abang Hashim. Keesokannya pula saya sudah mula oncall dan kembali sibuk di hospital. Dalam pada sibuk-sibuk itulah, saya bawa berbincang dengan sepupu terapat saya, Nisa. Kebetulan kami bekerja di wad yang sama pada waktu itu. Syaratnya itu munasabah. Dan jika ikhlas niat, semuanya adalah tidak mustahil. Apa syaratnya? Ehem. Biarlah kami saja yang tahu.

Untuk seketika, kami sering juga berbalas mesej. Sehinggalah pertengahan bulan Julai itu, saya rasa serba tidak kena. Saya rasa ini bukan diri saya. Tambahan pula, dia masih lagi terikat dengan program Master-nya dan saya terikat dengan housemanship saya. Kami pernah berbincang serba ringkas tentang hala tuju masa depan. Yang saya lihat, paling cepat satu kata putus dapat dicapai mengambil masa hampir 2 tahun lagi. Langsung saya menghantar mesej kepadanya. Pinta saya hanya satu : Jangan contact saya kalau rasa belum sampai masa untuk kawin. Kalau dah sedia, baru cari saya semula.

Saya nekad berbuat begitu. Saya tidak mahu berhubung secara sia-sia tanpa arah tuju yang betul-betul nyata. Saya tidak mahu maksiat menjadi penambah rasa. Dia bersetuju. Kami sepakat untuk tidak berhubungan. Dan dalam tempoh itu, betapa hanya Allah yang tahu kuatnya mujahadah yang perlu dilalui. Baik saya mahupun dia. Remuk redam jugalah rasa hati ni. Tapi bertahan. Bertahan. Bertahan. Hehe. Dia juga bergitu. Status-status separa pilu kelihatan di Facebook tapi tiada siapa yang tahu apa yang terjadi sebenarnya. Saya pula lebih banyak berkias dalam entri-entri saya di sepanjang bulan Julai dan Ogos tahun lalu. Dan dalam tempoh itu jugalah ada 3 lamaran datang dalam hidup. Aduhai. Penambah perisa betullah. Tapi saya sudah nekad. Saya hanya menunggu dia. Dulu 13 tahun saya boleh menunggu, takkanlah sekadar 2 tahun lagi saya sudah tidak sanggup, kan.

Siapa sangka, sebenarnya apa yang saya nekadkan itu menjadi batu loncatan untuk segalanya. Saya masih ingat, hari itu hari Sabtu, minggu pertama di bulan Septembar, minggu terakhir kita berpuasa. Saya oncall di wad kanak-kanak. Ayah datang sekitar jam 10 malam membawa makanan berbuka untuk saya. Iya. Saya masih belum berbuka dengan makanan berat pada waktu itu. Sekadar minum air dan mengunyah gula-gula Mentos sebiji. Ayah datang bukan sekadar membawa makanan. Tetapi juga sebuah bungkasan pos yang baru tiba pagi tadi di rumah. Di alamatkan kepada saya. Sambil makan saya terus membukanya. Dan kandungan bungkusan kecil itu buat saya berdebar-debar apatah lagi pengirimnya ialah dia.

Apabila ayah sudah balik, saya menghubunginya. Saya memaklumkan bahawa saya sudah menerima bungkusan tersebut. Tiba-tiba dia terus menghubungi saya. Dalam teragak-agak, dia memaklumkan bahawa pada Hari Raya ketiga insya Allah dia dan keluarga hendak berziarah ke rumah saya. Saya terdiam di situ. Dalam hati ada dua tanda tanya: Ziarah raya atau ziarah bermakna? Tapi mulut saya tak terluah hendak bertanya. Saya memaklumkan kepada emak dan ayah.

Dipendekkan cerita, pada hari raya ketiga itu, tibalah mereka sekeluarga ke rumah saya. Tahu apa perkara pertama yang diraikan?

Pertemuan semula dua kawan lama; ayah saya dan juga ayahnya. Subhanallah. Bagaikan telah berjanji, tujuan utama ziarah keluarganya yang agak samar bagi pihak saya bertukar kepada perbincangan tentang pernikahan kami berdua pula. Saya yang turut berada di situ terasa panas muka secara tiba-tiba. Memang sangat terkejut. Ditambah pula dengan usulan supaya kami bertunang dalam masa dua bulan saja, menambahkan keseriauan yang saya rasa. Saya mencuri pandang wajahnya pada waktu itu. Tenang saja. Dalam hati saya berkata: Ish, dia ni. Dia tak ajak pun kawin lagi, tak tanya pun kita lagi, tup tup mak ayah masing-masing dah bincang pasal tunang-nikah.

Selepas selesai kata putus dicapai, mereka sekeluarga meneruskan perjalanan pulang ke Batu Pahat. Waktu itu baru saya menghubunginya. Mesej saya berbunyi: Betul ke kita dah nak tunang ni? Tak lama lepas tu terus kawin? Awak tak pernah pun ajak saya kawin? Balasnya: Insya Allah ni yang terbaik untuk kita.

Subuh 1 Oktober 2010, dia melamar saya untuk menjadi isterinya.

Pada mulanya majlis pertunangan dirancang dilaksanakan lebih awal tapi disebabkan dia terpaksa menghadiri konferens di Hanoi, majlis dibawa ke bulan November. Pada 13 November 2010, majlis pertunangan yang sederhana telah berlangsung di rumah saya. Hanya saudara mara rapat saja yang menghadirinya. Tarikh dan majlis perkahwinan turut ditetapkan pada hari itu. Tempohnya 4 bulan saja. Dan apabila sudah bertunang inilah baru kami mula berhubungan semula untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan kami. Jika perlukan perbincangan panjang, kami hanya berhubung melalui email saja. Lebih banyak yang boleh dibincangkan di situ. Dan sejak kami bertemu semula di dunia maya pada 4 Jun 2009 yang lalu sehinggalah kami bernikah pada 12 Mac 2011 yang lalu, kami hanya pernah bertemu muka sebanyak 7 kali, dan semuanya ditemani oleh keluarga atau adik beradik kami.

Cerita Versi Thaariq

Selepas tamat UPSR, dia bersekolah di Al-Amin Gombak. Sejak itu, dia hanya pulang ke Temerloh bila cuti tiba saja. Dia juga mencari-cari saya. Dia tahu di mana letaknya kedai fotostat milik ayah saya dulu. Pernah dia terfikir, hendak pergi mencari saya di sana. Bila dia ke sana, saya tiada pula. Kecewa dia, katanya. Pernah juga dia berangan, ketika berjalan-jalan mencari barang di Pekan Sehari Ahad (lebih dikenali dengan nama Pekan Sari di sini), dia hendak terjumpa dengan saya. Katanya, antara ramai-ramai rakan sekelas dulu, saya yang paling terkesan dalam memorinya. Pernah saja dia terserempak dengan kawan sekelas kami yang lain, tetapi tidak saya.

Ketika zaman Friendster sedang memuncak, rupa-rupanya dia juga pernah mencari saya. Tapi tidak menjumpai apa-apa. Dia juga pernah meng-google nama saya. Tapi tidak jumpa barang satu informasi pun mengenai saya. Kemudian dia pun sudah tidak meneruskan usaha sehinggalah saat saya meninggalkan komen di blognya itu. Saya masih menyimpan email yang dikirimnya. Subhanallah. Tajuknya saja sudah menunjukkan betapa terujanya dia. Hehe. Belum lagi membaca kandungan email-email tersebut.

Sejak berhubung semula di Facebook, dia suka melihat gambar-gambar saya sepanjang di Moscow dulu. Katanya, saya comel. Huhu. Macam kelakar saja bunyinya. Apa yang buat dia tertarik ialah gambar saya berbaju kurung serba biru ketika menghadiri majlis di Al-Mukmin yang tidak dapat dihadirinya dulu. Dan dari situ dia mula menggunakan Bahasa Rusia di Facebooknya yang ditirunya bulat-bulat daripada sebuah lawan web. Huhu. Berusaha keras sungguh dia. Jika saya membalas dengan ayat yang panjang sedikit, mulalah dia tak tahu di mana hendak mencari maksudnya. Comel betul! Yang mendekatkan kami ialah ayatnya: Mnye by khatelos uznat o tebye po bolshe. Ada yang faham maksudnya?

Sewaktu hendak menghadiri walimah Kaklong, rupa-rupanya dia sudah memberitahu uminya bahawa dia hendak melihat saya. Ohoo~ Yang ini saya pun baru sangat tahu. Dan apabila sudah berjumpa sendiri dengan saya, katanya, dia sudah tiada ragu dalam hatinya. Dan apabila melihatkan perbincangan emak ayah dengan umi baba sangat lancar, dia jadi bertambah yakin. Katanya, dia takkan membiarkan 13 tahun menjadi lebih lama.

Dan selepas 13 tahun mencari cinta, di sinilah kami ditemukan semula. Dalam ikatan sebagai suami isteri yang sah, Alhamdulillah.

Cerita Versi Kami

Selepas berkahwin, saya menunjukkan kepadanya sebuah diari lama. Tahun 1997. Sebenarnya bukanlah sebuah diari. Itu buku yang saya kumpul biodata kawan-kawan. Tapi bila sudah tidak digunakan, saya jadikannya untuk mencoret aktiviti harian pula di mukasurat yang masih kosong. Sebenarnya saya pun baru terjumpa semula diari lama ini. Dan saya kongsikan kandungannya dengan suami. Diari itu penuh dengan catatan harian saya bermula daripada 20 November 1997 sehinggalah penghujung Disember 1997. Kisah bagaimana saya takut kehilangan seorang kawan bernama ATMK. Kisah bagaimana saya tercari-cari di mana ATMK.

Dan sejujurnya, selepas tamat SPM, saya ada menulis sebuah buku catatan baru. Dalam buku itu saya ada menyenaraikan 10 wishlists saya untuk masa depan. Tertera dengan jelas di situ, hajat saya yang ke-10 dalam senarai ialah INGIN MENCARI ATMK SEMULA.

Selepas saya bacakan padanya beberapa keratan daripada catatan-catatan yang ada, tiba-tiba muncullah satu kata-kata yang paling tak tahan untuk dibaca, yang telah saya tulis ketika berusia 12 tahun. Tabah adalah akhlak yang mulia.

Selepas membaca coretan-coretan itu, dia berkata: Ada hikmah Allah temukan kita semula selepas terpisah 13 tahun. Sebab bila kita berjumpa semula, kita sudah bersedia untuk bernikah, bukan setakat berkawan saja. Siapa sangka, Abang akan berkahwin dengan kawan baik Abang sendiri.

Ya. Saya juga tidak menyangka 13 tahun saya mencari cinta saya, rupanya dia ialah kawan baik saya sendiri yang terpisah lamanya.

Terima kasih Ya Allah atas anugerah ini!

  • Nota #1 : Jangan couple sebelum kahwin. Tak best. :)
  • Nota #2 : Dapatkan restu ibu bapa. Insya Allah semuanya dipermudahkan. Dan ingat, yang paling utama ialah mengutamakan Allah dalam segala yang kita rancang. Insya Allah segalanya akan dipermudahkan.
  • Nota #3 : Bersama kita doakan pasangan ini bahagia hingga ke syurga!


0 comments:

Post a Comment

 
;